Monday 17 June 2013

DOA "Janji Allah Itu Pasti"

Last Week......family saya bertandang...Kebiasaannya ada sahaja topik yang kita orang cakap. Tapi kali, topik itu agak menarik minat saya. Tentang Doa yang membuat saya tertarik & menarik saya. Tidak cukup dengan diskusi itu...maka saya mula mencari-cari untuk menambah pemahaman diri sendiri terutamanya...dan wajar dikongsikan di sini.

Perkataan Doa diambil dari Bahasa Arab yang merupakan ‘nama terbitan’ (masdar) dari kata kerja (perbuatan) ‘Da’aa, dari sudut bahasa bererti ‘seruan’, panggilan, ajakan atau permintaan.
Jika dilihat dari segi pengertian syara’, doa adalah ‘memohon kepada Allah SWT dengan meminta kebaikan dari sisiNya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan. Pengertian ini dijelaskan oleh Allah dalam beberapa tempat di dalam al-Quran.
Antara firman Allah:

Maksudnya “ Berdoalah kepadaku, nescara akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan hina dina.” (Ghafir: ayat 60)

KELEBIHAN DAN KEUTAMAAN DOA

1- Doa merupakan tali penyambung yang kukuh antara hamba dan RabNya.
2- Doa merupakan satu bentuk ibadah kepada Allah.
3- Doa merupakan satu bentuk zikir kepada Allah.
4- Doa merupakan senjata yang ampuh bagi setiap mukmin dalam menghadapi realiti kehidupan.

Antara Syarat Doa Yang Dimakbulkan :
1- Berdoa dengan penuh keikhlasan dengan terus mengharapkan agar doa tersebut dimakbulkan oleh Allah.
2- Berdoa dengan penuh kesungguhan dan tidak jemu mengulang-ulanginya.
3- Berusaha mengelakkan diri dari melakukan perkara yang dilarang dibenci oleh Allah.
4- Memastikan makanan,minuman dan pakaian yang dipakai dan rezeki yang diperolehi hasil dari usaha yang halal.
5- Memohon kemaafan dari manusia yang pernah kita zalimi atau aniyai, kerana doa seseorang tidak akan dimakbulkan sekiranya mereka menzalimi dan menganiyai orang lain dan tidak mendapat kemaafan dari mereka.
6- Mematuhi adab-adab sebagai seorang hamba yang berdo’a di hadapan Khaliqnya yang Maha Mendengar dan Maha Melihat.

DIANTARA WAKTU KEADAAN DAN TEMPAT YANG MUSTAJAB UNTUK BERDOA

1- Malam Lailatul Qadar.
2- Pada sepertiga malam yang terakhir (antara jam 3.00 hingga 6 pagi).
3- Selepas setiap solat fardhu yang lima.
4- Masa di antara azan dan iqamah.
5- Beberapa saat di setiap malam.
6- Ketika azan untuk solat fardhu
7- Ketika hujan sedang turun
8- Ketika mempersiapkan barisan menuju medan jihad fi sabilillah
9- Beberapa saat pada hari Jumaat. Menurut pendapat yang kuat, waktu yang dimaksud adalah akhir waktu solat Asar di hari Jumaat, saat khatib berkhutbah, atau saat berlangsungnya solat Jumaat.
10- Ketika minum air zam-zam beserta niat yang baik
11- Ketika sujud dalam solat
12- Ketika terbangun di tengah malam maka berdoa menggunakan doa yang ma’tsur (berasal dari Nabi S.A.W)
13- Ketika tidur dalam keadaan suci kemudian bangun di malam hari untuk berdoa.
14- Doa di Hari Arafah
15- Doa ketika seseorang dalam keadaan nazak (hampir meningal dunia)
16- Doa sesudah pujian terhadap Allah dan selawat ke atas nabi ketika tahiyyat akhir.
17- Ketika berdoa dengan menggunakan nama Allah Yang Maha Agong
18- Doa sepanjang bulan Ramadhan
19- Ketika perhimpunan umat Islam dalam majlis ‘zikrullah’
20- Doa ketika ditimpa musibah
21- Doa dengan penuh pertautan hati dengan Allah dan penuh keikhlasan
22- Doa orang terzalim terhadap orang yang menzaliminya
23- Doa ibu dan ayah untuk anaknya
24- Doa anak yang soleh untuk kedua ibubapanya
25- Doa orang yang sedang bermusafir
26- Doa orang yang berpuasa sehingga dia berbuka
27- Doa orang yang berpuasa ketika sedang berbuka
28- Doa orang yang terdesak atau terpaksa (dalam kesempitan)
29- Doa pemimpin yang adil (yang melaksanakan syariah Allah dalam pemerintahannya)
30- Doa ketika berwudhu’dengan doa yang ma’tsur( berasal dari Nabi S.A.W )
31- Doa selepas melontar Jumrah as-Sughra
32- Doa ketika melontar Jumrah al-Wusta
33- Doa ketika berada di dalam ka’abah, perlu diketahui bahwa kawasan hijir Isma‘il termasuk Ka‘bah.
34- Doa ketika berada di Safa
35- Doa ketika berada di Marwah
36- Doa ketika berada di Masy’aril Haram

DIANTARA SEBAB-SEBAB DO’A TIDAK DIPERKENANKAN

Suatu ketika seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham seorang tokoh sufi yang terkenal, apakah yang menyebabkan doa seseorang tidak diterima oleh Allah, Ibrahim bin Adham menjelaskan;
“Antara sebab doamu tidak diterima Allah ialah;
1- Kamu menyatakan bahawa kamu beriman kepada Allah, tetapi kamu tidak menunaikan hak-hakNya
2- Kamu mendakwa bahawa kamu mencintai Rasulullah SAW. Tetapi kamu tidak mengamalkan sunnahnya (dalam kehidupan kamu).
3- Kamu meyakini bahawa al-Quran itu adalah benar, namun kami tidak mengamalkannya (dalam kehidupan kamu)
4- Kamu telah banyak menikmati nikmat Allah, tetapi kamu tidak mensyukurinya
5- Kamu meyakini bahawa iblis dan syaitan itu adalah musuhmu, tetapi kamu menuruti segala tunjuk ajar mereka
6- Kamu menyatakan bahawa kamu meyakini tentang wujudnya syurga, tetapi kamu tidak berusaha melaksanakan amal yang boleh membawa kamu ke sana
7- Kamu menyatakan bahawa neraka itu benar, tetapi kamu kamu tidak berusaha menjauhkan diri darinya, bahkan melakukan perbuatan yang bakal mencampakkan dirimu ke sana
8- Kamu menyatakan bahawa kematian itu adalah satu kebenaran, tetapi kamu tidak bersedia dengan amalan untuk menghadapinya
9- Kamu bangun setiap pagi dan sering memperkatakan keaiban orang lain, tertapi kamu lupakan keaiban dirimu sendiri
10- Kamu selalu menghantar jenazah ke kuburan, tetapi kamu langsung tidak mengambil iktibar daripadanya, bahawa kamu juga akan dibawa ke sana.”
Wallahu’alam….


Rujukan : Berubat Dengan Doa dan Ruqyah dari Al Quran dan Sunnah, Dr Said bin Ali bin Wahf Al Qahthani, terbitan Media Hidayah.

Menjinakkan Nafsu

Assalamualaikum....

Pepagi yang mengingatkan saya tentang persoalan NAFSU.

Saya terdengar persoalan ini semasa memandu........tak ingatlah channel mana dan siapa nama ustaz tu..

Apa yang  dapat saya faham adalah beliau mengaplikasikan nafsu itu sebagai kuda. Apabila kuda itu lapar makanya kuda itu akan menjadi liar dan seharusnya di beri makan untuk menjinakkannya. Begitu juga dengan NAFSU.....apabila lapar /haus makanya akan menjadi tidak tentu arah/ liar. Seharusnya NAFSU mesti dijinakkan dengan bersolat, berpuasa & berzikir. 


** pssstttttttt...doakan agar kita sama sama mampu menjinakkan NAFSU. Amin.




Kecewa Bercinta

Assalamualaikum,

Pagi Yang Bermotivasi....

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,”sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.
Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri.
etahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi.
Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah.
Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan.
Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah.
Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas.
Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah;
“Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah.
Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.” 
Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?
Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi(merak kayangan).
Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!“

Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah.
Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!
Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan.
Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yangfrust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya.
Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.
Allah ganti yang lebih baik.
Tak sangka, kami akan serasi begini.
Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya.
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang.
Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust‘ berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar.
Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya?
Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja.
Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer‘  atau ‘repeat‘ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)
Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.
Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap.
Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frustdalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka.
Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya remaja ‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka.
Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.”Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan.
Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan.
Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehnah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar.
Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.
Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita?
Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. 
Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang.
Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula.
Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.
Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “Jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena.
Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.
Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah.
Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar.
Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah.
Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu.
Fahamilah hakikat ini.
Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini: “Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!


**pssstttttt...suka membaca topik yang boleh memotivasikan diri supaya lebih bersemangat & redha dengan ketentuanNya.




Sumber Blog Dakwah Remaja

Isteri Yang Di senangi Suami

Sebenarnya alam perkenalan, bertunang dan alam rumah tangga tidak sama perjalanan hidupnya. Kalau sekiranya selepas berkahwin, gaya hidupnya sama seperti zaman perkenalan sudah tentu akan berlaku kompleks yang tidak kesudahan. Apa tidaknya, tanggungjawab tidak diberi perhatian, hak suami isteri tidak dijaga, dan pantang larang hidup berkeluarga sering dilanggar.

Pada waktu itu kesalahan suami isteri, boleh dimaafkan dengan cara baik kerana darah masih panas dan manis. Tetapi jika setelah tiga bulan kesalahan sama terus diulangi, tentu akan timbul rasa kurang senang hati pasangannya. Ketika itu akan berlakulah pertengkaran kecil.

Inilah realiti masyarakat kita pada hari ini, si isteri tidak tahu meletakkan ketaatan kepada suami kerana dia menganggap dirinya dengan suaminya sama sahaja. Suaminya tidak ada keistimewaan berbanding lelaki lain yang dia kenali.

Boleh jadi suami sejak berkahwin sehingga ke saat itu, tidak pernah menunjukkan kewibawaannya, ilmunya mungkin kurang, agamanya juga kurang, dan pendapatannya juga mungkin kurang daripada isterinya. Bagaimanakah dalam keadaan itu si isteri boleh menghormati suaminya?

Barangkali kalau suami pada hari perkahwinannya telah menunjukkan kewibawaannya sebagai pemimpin, pembimbing, pendidik, tegas, kasih sayang, dan amanah pasti isteri akan taat kepadanya. Biarpun suami tidak ada ilmu sehebat isteri, tetapi dengan kewibawaannya memimpin keluarga, cukup besar ertinya kepada si isteri. Isteri mamang mahu seorang lelaki yang boleh membela hidupnya hingga ke akhirat.

Walau bagaimanapun berdasarkan hadis di atas, isteri yang boleh taat suami dan menjaga hak suami walaupun suaminya tidak berwibawa, walaupun miskin, dan tidak cukup ilmu, wanita inilah yang akan berboleh pahala seperti berjihad di medan perang.

Menyentuh sikap isteri yang tidak mahu mengakui hak suami, ia berpunca daripada kegagalan suami mendidik isteri pada awal perkahwinan. Mungkin dia tidak tahu apakah hak suami yang perlu dijaga. Kalau tidak masakan isteri tidak boleh menghormati suami dan menjaga haknya.

Tanpa didikan itu, seorang isteri mungkin tidak membenarkan suaminya menyentuh tubuhnya selagi tidak diadakan majlis kenduri kahwin. Ada juga isteri yang tidak membenarkan tubuhnya disentuh suami kerana tidak sanggup mengandung dan masih tidak mahu anak. Malah ada juga isteri yang tidak mahu disentuh suami kerana masih terbayang bekas kekasihnya.

Biasanya dalam keadaan itu suami akan terus bersabar. Dia masih sayangkan isteri, apatah lagi telah mengeluarkan wang yang banyak untuk mengahwininya, sudah pasti dia cuba memaafkannya. Harapannya lambat laun isterinya akan insaf dan berubah. Tetapi berapa lama dia boleh bersabar?

Sebenarnya dalam Islam suami berhak terhadap tubuh isterinya. Isteri ibarat ladang yang boleh dibajak dan dituai, begitu juga sebaliknya. Tetapi apabila hak itu disekat dan tidak diiktiraf, akan musnahlah segala harapan dan perkahwinan itu hanya menunggu retak. Suami ketika itu tidak akan rasa sayang lagi akan wang pelaburannya dan akan bertindak menceraikan isterinya.

Jadi, isteri perlu pelihara dua perkara di atas untuk disenangi suami dan beroleh pahala yang besar. Wallahu aklam.



Sumber http://www.loveloveislam.com

Adakah Anda Layak Berpoligami?

Anda Layak Berpoligami?  Dengan tulisan ini, diharapkan anda yang disenaraikan boleh membuat persiapan sama ada untuk meneruskannya atau menarik diri daripada poligami.

Tidak layak
1 Takut kepada isteri
2 Kurang komunikasi lalu menyalahkan isteri
3 Tidak sayang isteri lalu suka memukulnya
4 Isteri lebih kaya lalu hidupnya dikawal isteri
5 Putus hubungan dengan Allah

Layak
1.Takut kepada Allah
2.Selalu komunikasi dan mendidik iman isteri
3.Cintakan isteri kerana Allah
4.Suami kaya dan kehidupan isteri ditentukannya
5.Selalu berhubung dengan Allah apatah lagi waktu susah


Anda boleh nilai diri sendiri di mana kedudukan anda. Terpulanglah kepada anda sama mahu buat perubahan atau tidak. Untuk lebih jelas,  dua bahagian tersebut diulas supaya alasannya dapat diterima oleh semua pihak.
Takut kepada Isteri, ini penyakit kebanyakan suami sama ada suaminya kaya atau miskin. Dia tidak berani berterus terang dengan isterinya tentang dia mahu berkahwin lagi. Akhirnya dia buat keputusan untuk kahwin di luar negara.
Memang lelaki ini tidak layak berkahwin kerana lazimnya suami ini akan menipu isterinya atau berlaku zalim terhadap isterinya sama ada isteri pertama atau isteri baru.
Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang apabila menyatakan hasrat hendak berkahwin lain kepada isterinya, lalu ditentang oleh isterinya itu. Dengan tentangan itu dia jadi kecut lalu tidak berani untuk meneruskan hasratnya lagi.
Dengan hati yang sedih bakal isteri barunya akan mendesak. Maka untuk memuaskan desakan dia berkahwin di luar negara. Dengan perkahwinan ini dia sekali lagi akan menipu isterinya. Bukan itu sahaja, kehidupannya juga tidak selesa kerana asyik dengan penipuan sepanjang hidup.
Takut kepada isteri juga berlaku kepada suami yang tidak mampu buat keputasan untuk kebaikan dirinya dan isterinya. Setelah dia memberitahu isterinya tentang hasrat berkahwin lagi, isterinya meminta dia menceraikannya atau mengugut untuk bunuh diri.
Kerana sayangkan isteri dia batalkan perkahwinan keduanya. Suami ini memang tidak layak berkahwin lagi kerana tidak pandai mendidik isteri ke arah takut kepada Allah.
Kurang komunikasi dengan isteri secara baik, tidak melayakkannya berkahwin lain kerana keadaan yang sama akan berlaku kepada isteri yang baru. Suami ini akan selalu menyalahkan isterinya atas kegagalan rumah tangganya. Dia tidak ada masa untuk mendidik isterinya supaya takut dan bertaqwa kepada Allah. Atau isterinya tiada peluang untuk berbincang dengannya apa yang terbaik untuk rumah tangga mereka.
Kalau begitulah sikapnya, berapa ramai isterinya sekali pun, amalan yang sama akan berlaku. Salahnya bukan pada isteri tetapi kepadanya yang tidak pandai berkomunikasi yang terbaik. Dia mungkin boleh berkumunikasi dengan orang ramai apatah lagi wanita yang dia inginkan, tetapi itu sekadar lakonan. Nanti setelah menjadi isteri, semuanya akan terbongkar.
Tidak sayangkan isterinya mungkin berlaku setelah lama berkahwin apatah lagi setelah bertemu orang lain yang boleh dijadikan mangsanya. Lelakilah yang diibaratkan “habis madu sepah dibuang”. Kesan daripada tidak sayangkan isteri dia suka mendera isterinya. Padahal dia tidak pernah memberitahu isteri apa yang dia mahu kepada isteri untuk mengembalikan kasih sayang kepada isterinya.
Kalau dia tidak sayangkan isteri dalam keadaan itu, tidak mustahil setelah dia berkahwin dengan isteri baru, perkara yang sama akan berlaku. Dia juga akan rasa jemu kepada isterinya lalu tidak sayang kepadanaya. Penderaan juga akan dilakukan jika dia mahu. Oleh sebab itu dia tidak layak berpoligami. Jadi, mana-mana wanita yang mahu menerima tawaran poligami harus melihat sejarah bakal suaminya itu.
Isteri yang lebih kaya daripada suami malah isteri yang membiayai kehidupannya sememangnya tidak layak untuknya berkahwin lagi. Logiknya, kalau dia berkahwin lain, dengan apa pula dia boleh memberi nafakah kepada isteri barunya?
Putus hubungan dengan Allah merujuk kepada agama suaminya. Kalau si suami tidak pernah sujud kepada Allah atau sesekali sahaja sujud kepada Allah, bagaimana dia boleh berhubung dengan Allah. Mereka yang putus hubungan dengan Allah, dia akan putus hubungan dengan manusia.
Mereka ini akan gelap masa depannya kerana tidak dapat bantuan Allah. Jelas, lelaki ini tidak layak berpoligami kerana orang yang berpoligami adalah orang hampir dengan Allah.
Adakah anda layak?
Jika anda tersenarai sebagai tidak layak dan boleh membuat perubahan seperti yang dijelaskan di atas, tidak mustahil anda layak untuk berpoligami. Tapi ingat, bukan senang untuk berubah, kalau anda tidak benar-benar memiliki ciri-ciri orang yang layak seperti yang disenaraikan di atas.
Secara mudahnya , mereka yang layak ialah orang yang ada iman dan taqwa yang mendalam terhadap Allah. Oleh sebab itulah kalau anda lihat realiti pada hari ini, siapa yang berjaya dalam poligami. Kita boleh lihat di kampung-kampung pak lebai yang sering ke masjid ada empat isteri atau sekurang-kurangnya dua isteri.
Kalau kita pergi ke pondok-pondok pengajian, kita lihat tok-tok gurunya ada dua atau tiga isteri. Begitu juga ustaz-ustaz yang merata di dunia ini, boleh memiliki dua isteri atau lebih. Mereka ini sudah pasti memiliki ciri-ciri di atas. Yang pasti isteri mereka bahagia dengan suami mereka.
Mahukah anda jadi seperti mereka? Jika mahu tingkatkan iman dan taqwa. Untuk itu belajarlah dengan mereka yang berjaya. Wallahu aklam.

Sumber http://www.loveloveislam.com